Bulan Sudah Terbelah
Bulan Sudah Terbelah
·

Biarpun bulan sudah terbelah
Dan terlihatlah sudah
Keagungan kuasa yang menguasa
alam semesta dan segala
yang ada di dalamnya –
Tetapi mereka masih menafikan
apa yang diperlihatkan oleh mata
kerana benak hati yang tertutup
tiada lohong atau liang sekecil hama
yang bisa membawa tiupan ihsan
Atau kesedaran akan jasad yang
sememangnya benar melampaui badan.
Maka sebegitu kedegilan insan
Yang melihat bulan, dan mengakui
mentari berada di lain belahan bumi,
Namun tiada pula dia akui:
Dirinya tidak dimiliki empunya diri –
dan terus berjalan megah di tanah ini
Bagai kaki yang diangkat tangan sendiri.
K. Hazwan, 10 Februari 2025