Makam Maharaja Masih Terjaga

· Puisi
broken image

Masih kedengaran gemuruh guruh
dan Petir, kilat sabung-menyabung;
di rumah yang dibina siapnya sudah
tetapi pahat, alat, dan Tukul segala
sehingga kini masih lagi berbunyi.

Teringat kisah terdirinya satu gunung
piramid agung di wilayah Shaanxi,
tempat Maharaja Pertama bersemadi –
bertakhta buat Selama-Selamanya.
Dan ingatlah bahawasanya,
walaupun makam-makam Firaun
hampir semua dibuka dan dipunggah,
Makam Maharaja Pertama masih lagi terjaga
Tidak dirompak, diusik, atau dikorek semula.

Sejarawan Sima Qian ada berkata:
Tatkala Semua di Bawah Langit
tertakluk sudah –
telah berdiri Kerajaan di Tengah Dunia,
namun Dinasti Qin hidup tidak lama
kecundang dek kemuliaan yang tiada
dan kezaliman sang yang memerintah.

Beribu perajurit Tentera Terracotta
dipecah-pecahkan, tetapi dengan perlahan
disatukan semula dan berdiri menyembah:
Makam Maharaja yang selamat terjaga
Kerana bunyi pahatnya masih ada
Kerana dalam kejam, dia masih berjaga.

K. Hazwan, 17 Februari 2025